Saya menerima komen berikut dari seorg pensyarah yg menjawab post saya ptg tadi berkenaan "org yg suka fitnah." Sangat menarik. Banyak yg kita boleh pelajari. Bacalah walaupun panjang.
Salam Sejahtera,
Sebenarnya mengikut pengalaman saya orang yang buat fitnah dia bukan gila, tak waras atau psycho kerana kebanyakan orang yang buat fitnah adalah orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi. Malah ada antara mereka mempunyai pengetahuan tinggi dalam agama pun.
Di UiTM sendiri pun, memang berlaku banyak fitnah dan orang seringkali menjadi mangsa fitnah. Orang-orang yang mempunyai jawatan seringkali fitnah terhadap orang yang didapati akan merupakan pesaingnya ataupun akan mengambil alih jawatannya kelak. Mereka sanggup melakukan apa sahaja supaya kekal dalam jawatan yang dipikulnya kerana tidak mahu kehilangan segala keistimewaan yang dinikmatinya kerana jawatan tersebut. Mereka melakukan fitnah terhadap orang bawahan atau orang yang dianggap akan merebut jawatannya kerana takut akan kehilangan segala keistimewaan jika tidak lagi pegang posisi tersebut.
Sebenarnya orang yang buat fitnah merupakan orang yang pandai, dia buat fitnah kerana tahu orang akan mudah percaya kepada dia dan boleh memperbodohkan orang lain. Dia tahu kebanyakan manusia adalah bodoh, lebih mudah percaya kepada yang fitnah daripada yang benar. Selagi ada orang yang mudah percaya kepada fitnah, maka selagi itu lah ada orang yang suka berfitnah akan bermaharajalela. Dalam Al Quran jelas sebut bahawa kita perlu selidiki setiap berita yang kita terima, samada benar atau salah, tetapi berapa ramai antara kita buat penyelidikan tentang setiap berita yang kita terima? Seseorang adalah wajib menghalusi setiap berita yang diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. ”Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggung jawabannya”. (QS Al Israa’ : 36). Selanjutnya, “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6).
Lidah walaupun merupakan bahagian tubuh seseorang yang memberikan kelazatan atau kesedapan apa yang dimakan tetapi juga merupakan bahagian yang paling buat dosa, jika dibandingkan dengan bahagian tubuh badan yang lain. Kerana manusia menggunakan lidah untuk membuat fitnah. Rasulullah SAW menyatakan, lidah itu boleh membawa kepada keburukan dan bala kepada seseorang sepertimana dalam hadis “Tidaklah hasil tuaian lidah manusia itulah yang menghumbankan muka mereka ke dalam neraka.”
Allah turut menjelaskan betapa buruknya perbuatan fitnah itu menerusi firmanNya: ...dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengah yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? (al-Hujurat: 12).
Jika kita baca sejarah, memang menunjukkan bahawa banyak kerajaan hancur kerana fitnah seperti kesultanan Melaka, cerita Mahsuri di Langkawi dan sebagainya sehingga dikatakan “fitnah itu lebih besar daripada membunuh.”(Surah al-Baqarah,ayat 191) tetapi manusia ini masih juga meneruskan fitnah seolah-olah telah menjadi budaya.
Bagi saya orang fitnah lidahnya lebih kotor dari lubang tandas kerana amat menyakiti hati orang yang jadi mangsa fitnah tersebut. Sakit hatinya seperti ingin membunuh diri daripada hidup dikalangan manusia yang durjana. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya Allah benci kepada orang yang jelik budi pekertinya serta kotor lidahnya.” (hadis riwayat Imam Tirmidzi).
Selain itu kita tidak boleh mendiamkan diri apabila mendapati seseorang fitnah kepada diri kerana kita mempunyai kewajiban untuk membela diri. Dalam Islam seseorang diwajibkan membela diri apabila dia mendapati dirinya difitnahkan. “Dan orang-orang yang apabila mereka diperlakukan dengan zalim mereka membela diri” (Asy-Syura [42]: 39). Islam mengajar kita bahawa setiap pihak yang dituduh dengan sebarang dakwaan mestilah dibicarakan dengan adil dan diberi hak untuk membela diri. Apabila tertuduh tidak diberi hak membela diri, ia bukan sekadar melanggar demokrasi, tetapi melanggar lunas hukum agama dalam Islam.
Walaubagaimana pun orang-orang yang membuat fitnah, diakhirat akan menjadi penghuni neraka “Pada hari itu (hari kiamat), akan bersaksilah ke atas kamu oleh segala lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan (didunia dahulu)." An Nur 24:24. Selanjutnya, “Orang-orang yang menyakiti seseorang dengan sesuatu yang tidak dibuatnya, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan yang besar dan dosa yang nyata." (Al-Ahzab:58).
Sekadar kongsi pengalaman dan pendapat saya dengan Dato’ Prof.
Sekian dan terima kasih.Di petik terus dari FB Dato' Prof. Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar (VC UiTM)
No comments:
Post a Comment