A journal written by orang kampung.. There is a place that you will never forget.... kampung


Tuesday, February 28, 2012

Menyemai IT dalam kehidupan di luar bandar


Oleh: Nurul Haszeli Ahmad

12 Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) [1]
Selaras dengan teknologi masa kini dan perkembangan semasa, kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak telah meletak beberapa sasaran didalam memastikan penduduk Malaysia mencapai taraf berpendapatan tinggi. Sasaran tersebut diletakkan dibawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan merupakan sebahagian dari 12 Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) [1]. Sasaran yang dimaksudkan ialah meningkatkan hasil bidang pertanian negara, sekali gus menjana dan menambah-baik pendapatan pihak berkaitan terutamanya petani, penternak, dan nelayan [2], [3].

Sasaran Negara

Untuk memastikan sasaran tersebut  dicapai, pelbagai penambah-baikan telah dilaksanakan seperti yang telah digariskan oleh PEMUDAH dan Unit Perancangan Ekonomi (EPU). Antaranya ialah melaksanakan program satu desa satu industri [4], [5, [6] yang bukan sahaja mendapat sambutan dari pihak kerajaan negeri, malah penduduk kampong yang terlibat.Selain program satu desa satu industri, pihak Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) juga tidak ketinggalan dalam membantu kerajaan mencapai matlamat NKEA seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak. Pihak MOSTI melalui beberapa agensi di bawah pentadbirannya telah meletakkan beberapa sasaran penting dalam merapatkan jurang perbedaan pendapatan diantara penduduk pedalaman dan penduduk bandar. Diantaranya ialah mengurangkan jarak pemisah dalam penggunaan teknologi maklumat di kalangan penduduk pedalaman serta  memastikan kadar penembusannya dan penggunaannya dipertingkatkan.

IT untuk penduduk luar bandar

Credit to 2121Studio.com
Teknologi Maklumat atau ringkasannya IT ialah teknologi yang berkaitan dengan semua aspek dalam pengurusan, pemprosesan, dan penyebaran maklumat [7], [8]. Ia merangkumi pelbagai jenis media yang berasaskan kepada internet, alat komunikasi seperti telefon-pintar (smart-phone), komputer, dan maklumat yang disimpan dalam pangkalan data atau pelayan (server). Maklumat ini boleh diakses secara dalam talian (online) atau dimuat-turun (download) untuk bacaan di luar talian (offline).
IT digunakan secara meluas masa kini sebagai media alternatif untuk pelbagai urusan berkaitan dengan kerajaan, penyampaian maklumat, dan komunikasi tanpa batasan [8], [9]. Komunikasi yang dahulunya mengambil masa beberapa hari atau dibataskan dengan jarak perjalanan dan kos yang tinggi kini terhapus atau dikurangkan. Kini selaras dengan perkembangannya, IT dikembangkan dan disampaikan kepada penduduk di luar bandar terutamanya di kawasan pedalaman. Namun, apakah manfaatnya kepada mereka ini? Adakah sekadar untuk membolehkan kerajaan mencapai sasaran ETP serta ADUN dan MP mencapai Penunjuk Prestasi Utama (KPI)?

Manfaat IT

Selain dari rapatnya jurang digital [10], [11], ada beberapa kesan utama kepada penduduk luar bandar jika digunakan sebaiknya.  Kesan yang pertama ialah keboleh-capaian maklumat yang diperlukan seperti bantuan dalam bidang yang diceburi, khidmat nasihat dari agensi dan pakar, dan berita terkini berkaitan dengan industri yang diusahakan [12], [13]. Maklumat ini tidak semestinya berkaitan dengan kawasan setempat malah dengan adanya dunia tanpa sempadan ini, penduduk luar bandar kini boleh mencapai maklumat walau dimana sahaja berada. Sebagai contoh, banjir di India yang menjejaskan bekalan makanan tertentu member ruang pada petani yang usahakan makanan yang sama untuk mengambil alih membuat penawaran kepada yang memerlukan. Begitu juga andai berlaku taufan di Filipina atau gempa bumi di negara matahari terbit, nelayan boleh gunakan maklumat tersebut untuk merancang arah serta lokasi tangkapan mereka. Begitu juga jika peladang menghadapi masalah ternakan, selain dari bantuan agensi terbabit, mereka juga boleh merujuk kepada pakar dari luar negara atau mencari tindakan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi yang mungkin telah berjaya di negara luar. Semua maklumat ini boleh didapati tanpa meninggalkan rumah mahupun mengambil masa yang panjang.
Credit to apdip.net

Selain itu, IT boleh digunakan untuk menjenamakan desa dan memasarkan produk desa ke-serata dunia. Contoh terbaik ialah projek e-Bario yang dilaksanakan di Sabah [14], [15]. Sebuah perkampungan yang begitu jauh dipedalaman. Malah malamnya dihidupkan dengan tenaga yang dijana dari generator menggunakan petrol. Namun, suku kaum Kelabit yang merupakan penghuni dikawasan tersebut kini menggunakan IT sepenuhnya untuk memperkenalkan perkampungan mereka serta memasarkan produk keluaran mereka tanpa had. Projek itu berjaya memperkenalkan perkampungan tersebut dan seterusnya meningkatkan ekonomi penduduk setempat. Projek tersebut telah dijadikan landasan untuk diperkenalkan dikawasan pedalaman lain, sekaligus menunjukkan betapa besarnya manfaat IT jika dipergunakan dengan sebaiknya.

Pelaksanaan oleh Kerajaan

Untuk memastikan ia berjaya, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah aktif. Di antaranya ialah memperkenalkan perkampungan Wifi dengan memasang dan menyediakan peralatan berkaitan serta memastikan capaian internet yang disediakan adalah percuma atau mampu milik [16], [17], [18], [19], [20].
Selain itu, kerajaan juga telah meminta agar penyedia perkhidmatan internet seperti TM, Celcom, DIGI, dan MAXIS agar meningkatkan kadar penembusan jalur lebar terutamanya dikawasan yang masih belum mendapat liputan terutamanya dikawasan luar bandar.

Harapan Malaysia – Penyemaian IT

Namun, usaha kerajaan dan pihak berkaitan akan menjadi sia-sia andai penduduk di kawasan luar bandar tidak menyemai dan menuai sepenuhnya kemudahan IT yang disediakan. Projek E-Bario seharusnya dijadikan ukuran dalam menentukan kejayaan dan dijadikan pedoman agar perkampungan wifi yang sedang dipergiatkan berjaya.
Credit to n9kini.com

Selain itu, pihak berkaitan terutamanya ketua kampung, ADUN, MP, dan pegawai daerah perlu memainkan peranan masing-masing dengan menubuhkan satu jawatankuasa bersama yang dapat membantu memastikan penggunaan IT sepenuhnya dengan betul dikalangan penduduk setempat.
Paling penting ialah keinginan dan usaha penuh semangat penduduk terbabit demi menjamin keharmonian dan kesenangan hidup walaupun berada jauh di pedalaman. Malah semangat ingin berjaya perlu sentiasa diterapkan untuk memastikan penggunaan IT yang optimum dalam meningkatkan taraf ekonomi dan ilmu setanding dengan penduduk di bandar.

Dengan usaha ini, serta tersemainya IT dikalangan penduduk luar bandar, besarlah harapan agar penduduk di luar bandar mencapai matlamat menjadi warga Malaysia yang berpendapatan tinggi seterusnya membantu negara dengan meningkatkan hasil keluaran dalam negara.

Sumber Rujukan:

No comments: