KRISIS MAKANAN DUNIA
SN Keluaran 11 April 2008
[SN169] Dalam dua tiga bulan yang lepas, masalah krisis makanan global telah semakin mendapat perhatian para pemerhati ekonomi dunia. Antara perkara yang menjadi perhatian adalah peningkatan harga makanan di pasaran global yang telahpun memberi kesan langsung terhadap harga pasaran bahan makanan tempatan serta masalah kebuluran yang telahpun mula muncul di beberapa wilayah berasingan di dunia. Di Mahalla El-Kobra, Mesir, ribuan rakyat yang marah dengan kenaikan harga barang, tetapi tiada kenaikan gaji, telah membakar bangunan kerajaan, mencuri di kedai-kedai dan melontar batu ke arah polis di bandar industri tersebut baru-baru ini. Penunjuk perasaan menyerbu majlis perbandaran, memecahkan tingkap dan melarikan komputer serta dokumen lain. Sekurang-kurangnya dua buah sekolah dibakar dan beberapa buah bank dirosakkan. Hampir 100 orang ditahan di seluruh Mesir ketika ribuan penduduk tidak pergi bekerja atau ke sekolah kerana membantah kenaikan harga makanan dan keadaan kerja yang semakin teruk [BH 07/04/08]. Beberapa hari sebelum itu, akhbar melaporkan bahawa para petani di Argentina melancarkan mogok yang telah masuk hari ke-21 dan mengadakan lebih 300 sekatan jalan di seluruh negara kerana membantah dekri Presiden pada 11 Mac lalu yang menaikkan cukai eksport kacang soya sehingga 45 peratus dan mengenakan duti baru ke atas eksport lain. Akhbar melaporkan bahawa ia adalah krisis makanan terburuk negara itu di mana Presiden Cristina Fernandez sendiri menyamakannya dengan protes tiga minggu pada 1976 sehingga mencetuskan kekacauan dan rampasan kuasa tentera [BH 03/04/07].
Sementara itu, di Filipina, kerajaan telah mengumumkan bahawa pemilik gudang dan peniaga yang didapati menyorokkan beras di Filipina akan didakwa atas tuduhan melakukan “sabotaj ekonomi” yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup. Setiausaha Kehakiman, Raul Gonzalez berkata, ejen-ejen kerajaan dengan bantuan polis sudah mula melancarkan serbuan terhadap peniaga beras haram di bandar Cebu, tengah negara ini [UM 04/04/08]. Di Thailand pula, walaupun ia merupakan antara negara pengeksport beras utama dunia, krisis kekurangan beras telah dilaporkan berlaku di penjara negara Gajah Putih itu. Harga beras yang semakin mahal dibimbangi boleh mencetuskan rusuhan di penjara berikutan kontraktor yang dilantik pihak berkuasa untuk membekalkan makanan kepada penghuni pusat tahanan dipercayai mengalami kerugian, kata ketua Jabatan Penjara, Wanchai Rujanawong. Akhbar The Bangkok Post melaporkan, pihak berkuasa penjara bimbang sekiranya pembekal menghentikan penghantaran beras ia boleh menyebabkan masalah kekurangan makanan di penjara yang seterusnya akan mencetuskan rusuhan di kalangan banduan [BH 06/04/08]. Terbaru, PBB memberi amaran peningkatan harga makanan yang berterusan boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan politik di seluruh dunia. Amaran PBB itu dinyatakan oleh John Holmes, Timbalan Setiausaha Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bencana PBB di sidang bantuan kemanusiaan di Dubai. Harga purata makanan meningkat sehingga 40 peratus sejak pertengahan 2007, katanya. “Harga makanan dunia meningkat dengan ketara. Kesan krisis makanan ke atas keselamatan juga tidak boleh dipandang ringan kerana rusuhan sudah meletus di beberapa negara”, tegasnya lagi [BH 09/04/08].
Sekilas Fakta
Makanan adalah salah satu keperluan asas manusia di samping tempat tinggal dan pakaian. Oleh yang demikian, isu krisis makanan bukanlah satu isu remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Apa yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, bijirin dan jagung yang menjadi keperluan asas setiap individu di atas dunia ini. Sekiranya tahun lepas, rakyat Malaysia menjadi kecoh apabila bekalan gula dan minyak masak berkurangan di pasaran, bayangkanlah bagaimana keadaannya kelak sekiranya anda dapati tiada lagi beras dan tepung di rak-rak kedai runcit dan juga pasar raya. Walaupun setakat ini Malaysia masih belum terkesan dengan fenomena ini, namun berdasarkan trend ekonomi dunia, hal ini langsung tidak mustahil melanda negara.
Masalah kekurangan makanan, yang pada mulanya bersifat setempat dan hanya sinonim dengan negara-negara dunia ketiga, kini menjadi semakin kronik apabila harga pasaran bekalan makanan di peringkat dunia juga turut meningkat dan mula memberi ancaman kesan yang lebih global termasuklah kepada negara-negara maju. Menurut statistik Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata telah meningkat sebanyak 75% sejak tahun 2000 manakala kadar simpanan bijirin dunia kini adalah pada tahap terendah sejak 30 tahun. Harga gandum di pasaran dunia sahaja telah mencatatkan kenaikan sebanyak 200% manakala harga makanan ruji yang lain seperti beras dan kacang soya telah mencatatkan paras tertinggi. Kenaikan harga pasaran bijirin juga akan memaksa kenaikan harga pasaran makanan yang lain secara langsung atau tidak langsung seperti harga daging, ayam, telur dan makanan tenusu. Sehubungan dengan situasi ini, pelbagai krisis telah melanda merata tempat di dunia dan tidak lagi terbendung kepada negara-negara tertentu sahaja. Menurut Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih dari 73 juta orang di 78 negara yang bergantung kepada sumbangan makanan dari pertubuhan itu akan menghadapi pengurangan bekalan pada tahun ini [Sunday Herald 09/03/08].
Krisis ini telah memberikan kesan langsung yang menyengsarakan penduduk dunia di mana kita dapat saksikan ketidakpuasan hati terhadap apa yang sedang berlaku telah mula dizahirkan melalui aktiviti-aktiviti tunjuk perasaan dan bantahan. ‘Rusuhan Tortilla’ telah berlaku di Mexico pada 1 Febuari 2007 apabila rakyat Mexico tidak berpuas hati dengan kenaikan harga tortilla (antara makanan ruji rakyat Mexico) yang meningkat sebanyak 400%. ‘Mogok Tempe’ selama tiga hari oleh para peniaga pula telah berlaku di Indonesia pada awal Januari lalu apabila harga bahan asas pembuatan tempe iaitu kacang soya meningkat dari sekitar Rp3,000 pada tahun 2007 kepada Rp7,400 pada tahun ini. Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon, telah mengatakan bahawa di banyak negara terutamanya di Afrika, pengguna terpaksa membayar lebih 2 kali ke 3 kali ganda untuk makanan akibat dari kemelut ini [BBC 11/03/08]. Keadaan yang lebih dahsyat telah berlaku di India apabila dilaporkan lebih 25,000 petani telah membunuh diri mereka tahun lepas akibat dari kemurungan yang berpunca daripada kekurangan hasil pertanian dan peningkatan hutang [India Today]. Jumlah kematian ini tidak lagi termasuk dengan korban nyawa yang berpunca daripada masalah kebuluran dan kekurangan makanan yang selama ini telah lama melanda negara-negara miskin dan juga rakyat yang miskin di negara-negara yang kaya. Jika kita soroti sepintas lalu statistik yang ada, pada ketika ini terdapat lebih 854 juta manusia yang hidup dalam kelaparan [‘State of Food Insecurity in the World 2006’, PBB]. Dari jumlah ini, hampir 16,000 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari akibat dari masalah yang berkaitan dengan kekurangan makanan [‘Where and Why Are 10 Million Children Dying Every Year?’ The Lancet 361:2226-2234( 2003)].
Yang Dikatakan Menjadi Punca Krisis
Pakar ekonomi kapitalis tidak pernah kering dengan idea dan pandangan apabila berlaku permasalahan yang melibatkan ekonomi dunia. Begitu juga mereka tidak pernah lengang dengan seribu satu macam kaedah penyelesaian bagaimanakah caranya untuk mengatasi permasalahan yang timbul. Tetapi sebelum penyelesaian (yang tidak pernah menyelesaikan) di ambil, tabiat biasa Kapitalis adalah membincangkan ‘teori’ yang menjadi punca kepada krisis. Bagi Kapitalis, pada amnya, ada dua elemen asas yang menjadi perbahasan dalam isu krisis ini. Yang pertama adalah isu ‘jumlah bekalan makanan’ dan yang keduanya adalah isu ‘harga bahan makanan’. Kapitalis selalu menuding bahawa kerana kedua masalah inilah yang menyebabkan timbulnya kekangan bagi pengguna untuk mendapatkan bekalan makanan. Kedua-dua elemen ini juga masing-masing mempunyai faktor penyebab tertentu dan juga faktor penyebab yang dikongsi bersama yang dikatakan menjadi punca mengapa krisis makanan global berlaku.
Masalah pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan adalah antara alasan yang sering dijadikan ‘punca’ mengapa berlakunya kekurangan makanan di dunia. Dianggarkan bahawa penduduk dunia akan bertambah melampaui tahap 9 bilion orang menjelang tahun 2050. Unjuran pertambahan ini dikatakan akan mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak yang tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kelangkaan (kekurangan) sumber-sumber yang ada seperti air, tanah ladang dan sebagainya. Kepesatan permintaan secara mendadak dari kawasan ekonomi yang sedang pesat membangun seperti di China dan India juga dikatakan menjadi penambah kepada ketidakseimbangan antara pengeluaran makanan dunia (supply) dan permintaan (demand) yang memerlukannya. Contohnya (sebagaimana dilaporkan), tabiat makan penduduk China telah berubah di mana secara per kapita, penduduk Cina menghabiskan 50kg daging pada tahun 2007 berbanding hanya 20kg pada tahun 1985.
Keadaan yang ada dikatakan menjadi semakin rumit apabila faktor pengeluaran juga telah terjejas akibat bencana alam, pencemaran dan perubahan iklim dunia. Australia dikatakan mengalami kemarau terburuk pada tahun lepas menyebabkan hasil gandum negaranya telah menyusut sebanyak 60%. Hasil tuaian dari China juga telah menyaksikan penyusutan sebanyak 10% sepanjang 7 tahun yang lalu. Faktor-faktor ini dikatakan menjadi sebab secara langsung kurangnya bekalan makanan yang boleh diperolehi oleh penduduk dunia.
Pada masa yang sama, faktor kenaikan harga barang makanan juga dikatakan menggandakan lagi kesan yang berlaku. Ini kerana apabila harga barang makanan meningkat, maka semakin sukar bagi kebanyakan penduduk dunia secara amnya untuk mendapatkan makanan tersebut selari dengan teori mekanisma harga yang menjadi mekanisma asas pengagihan dalam sistem ekonomi kapitalis. Kenaikan harga barang dagangan ini pula dikatakan berpunca daripada kenaikan harga minyak dunia. Secara langsung, kenaikan harga minyak telah memaksa kenaikan kos bagi mengeluar dan memasarkan makanan (kos untuk menjana tenaga bagi menggerakkan kilang, jentera, kos pengangkutan dan sebagainya). Peningkatan harga minyak juga dilihat menjadi penyebab kenaikan kos baja sekali gus melonjakkan harga bahan makanan di pasaran.
Di samping itu, ‘kegilaan’ terhadap penghasilan bahanapi bio bukan sahaja dikatakan telah melambungkan harga sumber makanan yang berkaitan, malah sekali gus mengurangkan jumlahnya dalam pasaran untuk keperluan pemakanan. Pada tahun lepas sahaja, suku daripada jumlah tuaian jagung Amerika Syarikat telah digunakan untuk penghasilan etanol (antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan bahanapi bio) yang mana jumlah ini pastinya memberikan impak yang besar kerana Amerika Syarikat menyumbang kepada 60% pasaran jagung dunia.
Begitulah antara sebab-sebab popular yang sering diutarakan oleh pakar ekonomi Kapitalis. Namun sebelum kita terus membuat kesimpulan dan bertindak mencari penyelesaian, kita teliti dulu akan realiti ‘punca-punca’ yang dinyatakan, sama ada ia adalah punca yang hakiki atau hanya merupakan ‘justifikasi’ kerana mahu menuding kesalahan kepada yang lain, sekali gus dapat menutup kebobrokan ‘sistem Kapitalis’ itu sendiri.
Hakikatnya, ada faktor-faktor yang diperkatakan tadi adalah bertentangan dengan realiti yang ada. Hairan Bin Ajaib mengapakah boleh berlaku kekurangan bekalan makanan apabila tahap pengeluaran makanan dunia sebenarnya bertambah melebihi tahap pertambahan penduduk. Jika dibandingkan antara jumlah penduduk pada tahun 1961 dan 2005, kita dapati jumlah penduduk dunia telah bertambah sebanyak 2.1 kali ganda. Tetapi jika kita bandingkan tahap pengeluaran makanan antara tahun yang sama, kita dapati pengeluaran makanan dunia telah bertambah 2.8 kali ganda (berdasarkan data terkini dari World Resources Institute). Ini bermakna, jumlah makanan yang telah dihasilkan untuk setiap individu telah bertambah (semakin banyak) saban tahun. Oleh yang demikian, rasional bahawa antara punca krisis bekalan makanan adalah kerana bertambahnya bilangan penduduk dunia adalah satu pena’akulan yang meleset. Pada dasarnya, mereka yang memberikan alasan ini hanyalah meng‘kakak-tua’kan teori yang dikemukakan oleh Thomas Malthus dari Britain dalam kurun ke 18 di mana beliau menulis sebuah buku bertajuk ‘An Essay on the Principle of Population as it Affects the Future Improvement of Society’ pada tahun 1798. Di dalamnya dikatakan bahawa populasi manusia akan bertambah secara eksponen manakala pertambahan bahan makanan hanyalah secara aritmetik. Jika teori ini betul, maka beberapa ratus tahun selepas zaman Malthus, sebahagian populasi manusia akan mengalami kebuluran dan kekurangan makanan. Perlu diperhatikan bahawa Malthus menulis bukunya ketika Britain mempunyai populasi 11 juta penduduk dan pada kurun 21, populasi penduduk Britain telah bertambah sebanyak 59 juta. Namun begitu, tidak pula terdapat mana-mana kawasan di Britain yang mengalami krisis kekurangan makanan atau pun kebuluran yang serius, walaupun Britain pada hakikatnya mempunyai keluasan tanah yang tidak begitu besar berbanding dengan negara-negara lain di dunia. Justeru, pendapat Malthus hanyalah benar dari segi pertambahan penduduk dunia namun teori beliau ternyata salah dalam meramal bahawa pertumbuhan makanan tidak akan dapat menampung pertambahan penduduk dunia.
Untuk isu perubahan tabiat makan penduduk dunia yang dikatakan menjadi punca pertambahan permintaan makanan pula, realitinya harus dikaji dengan lebih teliti lagi. Jika kita tanya, benarkah penduduk dunia zaman sekarang makan lebih banyak berbanding dengan penduduk dunia puluhan atau ratusan tahun dahulu, walhal saiz perut manusia lebih kurang sama sahaja? Secara logiknya, keperluan makanan untuk bekalan tenaga manusia seharusnya menjadi semakin berkurangan oleh kerana manusia telah semakin banyak menggunakan mesin dan jentera bagi melakukan tugas-tugas, berbanding orang dahulu yang semata-mata bergantung kepada tulang empat kerat untuk bekerja. Jadi adakah benar manusia sekarang makan lebih banyak atau sebenarnya manusia zaman sekarang ‘membazir’ lebih banyak? Jika dilihat laporan kajian tentang pembuangan sisa makanan penduduk dunia, kenyataan kedua sebenarnya lebih tepat. Sebagai contoh, setiap tahun sebanyak lebih daripada 160 bilion kilogram makanan telah disediakan di Amerika Syarikat. Daripada jumlah ini, hampir 45 billion kilogram (termasuk sayuran segar, buah-buahan, susu dan produk bijirin) telah dibuang ke dalam tong sampah. Ironinya, secara purata, 4 billion kilogram makanan sudah cukup untuk menyelesaikan masalah kebuluran yang sedang melanda dunia sekarang. Jadi, logikkah tabiat pemakanan manusia dikatakan menjadi punca kepada krisis kekurangan makanan?
Bagi masalah bencana alam seperti banjir dan kemarau, memang benar manusia tidak mampu untuk menghalang kesan langsung yang akan berlaku. Namun bencana tersebut bukanlah sesuatu yang sentiasa berlaku setiap hari atau setiap bulan sehingga sentiasa mengganggu keseluruhan sistem pengeluaran makanan dunia. Bencana sebenarnya hanya memberi kesan jangka pendek, bukan kesan jangka panjang dan biasanya masalah ini akan pulih dalam jangka waktu yang singkat. Bencana tidak pernah menjadi kesan berpanjangan sehingga surutnya jumlah makanan dunia, sebagaimana didakwa oleh Kapitalis. Tambahan pula, di kebanyakan negara, mereka biasanya sudah pun menyediakan stok makanan yang mencukupi untuk menghadapi kesan jangka pendek yang ditimbulkan dari bencana alam ini. Banyak bahagian di dunia ini yang dilanda bencana alam sejak ratusan tahun dahulu lagi, namun krisis kekurangan bekalan tidak pula timbul, logikkah ini dikatakan sebagai punca? Di Malaysia sendiri sebagai contoh, fenomena tengkujuh dan banjir besar yang melanda beberapa buah negeri di Malaysia (yang bersifat sementara) setiap tahun, tidak pernah menyebabkan Malaysia berada di dalam krisis makanan. Jika wujud pun masalah, ia adalah masalah pengagihan yang tidak betul yang dilakukan oleh kerajaan yang menyebabkan bekalan tidak sampai kepada mangsa. Jika berlaku sekalipun masalah kekurangan, ia sebenarnya bukanlah disebabkan oleh ‘kekurangan’ itu sendiri, tetapi kerana wujudnya aktiviti ‘penyorokan’ dan juga penimbunan oleh pembekal serta pengagihan yang tidak efisien.
Begitu juga dengan permasalahan kekurangan bekalan makanan kerana penggunaannya untuk penghasilan bahanapi bio. Ia sebenarnya lebih bersifat permasalahan pengurusan bekalan dan bukannya punca masalah. Ini belum lagi mengira aktiviti spekulasi harga komoditi bermotivasikan ketamakan di pasaran hadapan (futures market) yang bertanggungjawab menaikkan harga minyak dan makanan secara tidak realistik. Yang perlu difahami di sini adalah, masalah pengurusan bekalan yang diperkatakan adalah berhubung kait dengan ‘sistem’ yang diguna pakai untuk menguruskan ekonomi di dalam sesebuah negara. Ini kerana, perbezaan pandangan hidup (ideologi) pemerintah dan sistem ekonomi yang mereka anuti/terapkan akan membezakan tahap penilaian mereka (pemerintah) dalam membuat polisi untuk menentukan apakah yang perlu disimpan, apakah yang perlu dihasilkan, apakah yang perlu dibelanjakan dan sebagainya. Jika benak pemerintah didominasi pemikiran kapitalisme yang sememangnya rakus dalam mengambil hak rakyat, maka inilah yang sebenarnya menjadi punca kepada segala kerosakan dan menyebabkan berlakunya krisis. Ini adalah kerana, ‘aqidah manfaat’ yang begitu kuat, yang dianuti mereka, menyebabkan para pemerintah Kapitalis ini hanya berminat untuk ‘membuncitkan’ perut masing-masing sahaja, tanpa mempedulikan kesusahan dan penderitaan rakyat. Nafsu serakah mereka yang berkuasa, yang mengaut sebanyak mungkin kekayaan negara, dan perangai mereka yang hanya ‘memberi makan’ kepada anak bini dan kroni, inilah yang sesungguhnya membawa manusia kepada krisis yang sedang dihadapi sekarang. Dengan sistem pemerintahan dan hawa nafsu Kapitalis ini, ia bukan sahaja menjadi punca kepada kekurangan makanan, malah punca kepada segala keburukan yang ada.
Penyelesaian Dari Islam
Setelah menyedari akan pembohongan, kebobrokan dan kejelekan sistem ekonomi Kapitalis, ke manakah lagi akan kita tuju dalam menghadapi segala malapetaka yang menimpa ini? Sebahagian besar pemerintah dan juga umat Islam menolak sistem Sosialis atau sistem komunis untuk diterapkan di dalam kehidupan kerana ‘terasa’ akan kesesatan dan kekufuran yang dibawanya, namun dalam masa yang sama, mereka sebenarnya mengambil dan mengamalkan sistem yang lebih buruk – sistem Kapitalis, yang juga adalah sesat dan kufur. Malangnya mereka ‘tidak terasa’ akan kesesatan dan kekufuran yang dibawa oleh sistem Kapitalis kerana terpesona dengan ‘manfaat’ yang mereka nikmati di bawahnya.
Menurut Islam, makanan adalah salah satu keperluan asas yang perlu dijamin oleh negara bagi setiap warganegara Daulah. Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab seorang Khalifah untuk memastikan bahawa bahan makanan dapat sampai ke setiap mulut manusia yang bernaung di bawah Khilafah. Daulah Khilafah, apabila tertegak nanti, akan menyusun strategi bagi memastikan bahawa permasalahan makanan tidak akan timbul. Strategi Daulah ini adalah berasaskan 4 kekuatan yang secara tabi’i terdapat di dalam dunia Islam. Empat kekuatan tersebut adalah; 1) tanah yang subur, 2) sumber air yang melimpah-limpah, 3) sumber manusia yang besar, 4) kekayaan dari sumber alam semulajadi. Dengan tanah yang subur dan luas yang terdapat di dalam dunia Islam, politik pertanian Daulah akan difokuskan kepada meningkatkan pengeluaran pertanian berasaskan dua perkara - penggunaan baja dan peralatan moden serta perluasan lahan pertanian melalui penerapan hukum syarak yang bersangkutan dengan hukum tanah pertanian. Ini termasuk menggalakkan pembukaan tanah pertanian baru (ihya’ al-ardh) dan pemberian tanah secara percuma kepada mereka yang mampu mengerjakannya. Subsidi pertanian juga akan diberikan dengan meluas bagi menggalakkan aktiviti pertanian yang berkesan. Selain itu, sistem pengangkutan yang efisien juga perlu dibina agar pengedaran makanan menjadi lebih berkesan.
Dari aspek sumber air, Allah telah mengurniakan jumlah air yang cukup besar kepada kaum Muslimin. Di dunia Islam, terdapat lebih dari 150 billion meter padu air permukaan (sungai, tasik dll.) dan ini tidak termasuk sumber bawah tanah (7734 billion meter padu!) yang cukup untuk seluruh penduduk dunia! Apa yang pasti, dengan jumlah air yang sebegini banyak, masalah pertanian pasti tidak akan muncul. Daulah akan memastikan, melalui penerapan hukum syarak, bahawa sumber ini diuruskan dengan sempurna melalui pembinaan empangan dan saliran pertanian yang meluas.
Dari aspek sumber manusia, kini, terdapat lebih 48 juta kaum Muslimin yang menjalankan aktiviti pertanian. Bagi memastikan setiap individu di dalam Khilafah mendapat keperluan asasnya, Daulah akan memberikan peluang dan galakan kepada orang-orang miskin dan tidak berkemampuan untuk bertani dengan memberikan tanah lahan secara percuma, subsidi dan segenap bantuan kepada mereka.
Kekuatan keempat, yakni kekayaan sumber alam semulajadi merupakan aspek yang paling menonjol di dalam dunia Islam. Untuk memberikan gambaran akan kekayaan yang ada di dunia Islam, Amerika, dalam kerakusannya, telah mendapat keuntungan minyak dari Arab Saudi sahaja sejumlah 86 trillion dolar!!! Bayangkan kekayaan yang ada di seluruh dunia Islam!! Sekiranya jumlah ini dibahagikan kepada seluruh kaum Muslimin, setiap seorang layak mendapat USD66,000! Bukan ini sahaja, dunia Islam ini dipenuhi dengan laluan-laluan strategi dan ini juga boleh dieksploitasi untuk mendapat keuntungan. Apa yang diperlukan hanyalah seorang Khalifah yang ikhlas yang akan menguruskan jumlah kekayaan yang besar ini secara efektif dan efisien bagi memastikan umat Islam dan bukan Islam yang tinggal di dalam Daulah hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. Pada masa yang sama, hukum-hukum yang berkaitan untuk memastikan setiap individu mendapat sumber makanan seperti hukum nafkah, zakat dan sebagainya perlu ditegakkan secara menyeluruh agar tiada yang ketinggalan dalam hak mereka untuk mendapatkan makanan. Sekiranya berlaku bencana, Khalifah juga wajib memastikan halangan-halangan dapat diatasi dalam pengedaran makanan kepada yang memerlukan.
Para khalifah terdahulu telah memerintahkan agar kawasan-kawasan pertanian dibangunkan dan dimajukan dengan sistem pengairan dan sebagainya seperti yang dilakukan di wilayah Basra (Iraq) dan Sind (Pakistan). Dana yang berlebihan di dalam Baitul Mal juga telah dibelanjakan oleh Daulah pada pemerintahan Umar Abdul Aziz untuk tujuan pembangunan pertanian. Pada era pemerintahan Khalifah Umar Al Khattab, Madinah telah dilanda kemarau dan mengalami kekurangan makanan. Pada waktu itu, Khalifah Umar telah memerintahkan agar bekalan makanan dibawa masuk ke Madinah dari wilayah-wilayah lain yang tidak terkesan seperti dari Mesir dan Syria. Pada masa yang sama, perbendaharaan negara dibelanjakan untuk membeli dan menyediakan makanan kepada penduduk Madinah. Pendekatan yang sama juga telah dibuat oleh Khalifah Umar Abdul Aziz sewaktu Jazirah Arab telah dilanda kemarau yang teruk. Usaha-usaha ini dilakukan atas dasar memenuhi tuntutan hukum syarak agar keperluan makanan bagi setiap manusia di dalam Daulah dapat dipenuhi setiap masa, dan bukannya kerana ingin mendapat keuntungan dari suatu aktiviti ekonomi.
Khatimah
Krisis makanan dunia adalah satu krisis kemanusiaan yang wajib diselesaikan menurut ketentuan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Maha Suci Allah yang telah menurunkan agama Islam yang kita anuti ini untuk menyelesaikan segenap permasalahan manusia, sehingga tidak ada satu masalah pun yang tidak boleh diselesaikan oleh Islam. Bagi sesiapa yang mengi’tiqadkan bahawa sistem ekonomi Islam tidak mampu menyelesaikan masalah, maka sesungguhnya telah kufurlah mereka. Bagi sesiapa yang tidak mahu menerapkan sistem ekonomi Islam tetapi masih meyakini bahawa ia boleh menyelesaikan masalah, maka sesungguhnya telah zalim dan fasiklah mereka. Bagi sesiapa yang tidak berusaha untuk menerapkan sistem ekonomi Islam untuk menggantikannya dengan sistem Kapitalis yang kufur ini, maka telah berdosalah mereka. Sesungguhnya Allah selaku Pencipta manusia, alam dan kehidupan, Dia Maha Mengetahui akan kelemahan manusia dan alam ciptaanNya dan Dia telah pun memberikan penyelesaianNya kepada kita semua. Rasulullah dan para Khalifah Allah yang terdahulu telah pun menerapkan hukum Allah dalam pemerintahan mereka dan hasilnya, mereka berjaya keluar dari segala masalah dengan rahmat Allah.
Sebagaimana telah dijelaskan, beginilah caranya Islam mengatur urusan manusia termasuklah dalam mengatur urusan makan dan minum. Bagaimanapun, mekanisma-mekanisma yang dinyatakan di atas menjadi rumit dan amat sulit sekali untuk dilaksanakan dengan adanya pemimpin sekular dalam konteks negara bangsa yang ada sekarang. Sebagai contoh, untuk mendapatkan bantuan makanan dari Mesir untuk umat Islam di Somalia atau Indonesia secara percuma, atau mendapat bantuan makanan dari Arab Saudi atau Malaysia kepada penduduk Islam Afrika secara percuma, semua ini hanyalah umpama mimpi di siang hari. Di sinilah kita sekali lagi dapat melihat bagaimana pemimpin sekular dan negara-bangsa yang ada pada masa sekarang telah menjadi penyekat, pelemah malah penghancur kepada kekuatan Islam dan pembawa malapetaka kepada umat Islam itu sendiri khususnya dan manusia amnya. Sesungguhnya hanya dengan adanya seorang Khalifah dan Daulah Islam yang satu untuk semua umat Islam, maka barulah mekanisma ini tampak kekuatannya dan akan terbukti keberkesanannya. Tanpanya, umat Islam di negara-negara bangsa yang ada kini terus merintih dan bergenang air mata darah menyaksikan kemelut yang melanda. Atas dasar inilah, Hizbut Tahrir berkali-kali mengingatkan umat Islam di seluruh dunia agar terus istiqamah dalam menjalankan usaha untuk mengembalikan Daulah Khilafah yang akan menyelesaikan segala permasalahan yang sedang kita hadapi, sama ada berupa masalah pemakanan, maruah, nyawa mahupun darah. Bersatulah dan bergeraklah wahai saudaraku agar Daulah Khilafah ala minhaj nubuwwah kembali ke pangkuan kita secepat mungkin. ALLAHU AKBAR!
[Disalin dengan kebenaran dari mykhilafah.com]

No comments:
Post a Comment