"Shahrir menjelaskan, mekanisme pemberian subsidi bahan api yang akan dilaksanakan Ogos ini mungkin akan diberikan sama ada dalam bentuk kuota atau secara tunai." - Utusan Malaysia (Rabu, 05/06/2008)
"Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom, antara syor yang dipertimbangkan ialah memberikan subsidi minyak kepada pengguna hanya dalam jumlah tertentu.
Katanya, selepas melepasi had penggunaan minyak bersubsidi yang ditetapkan, jika seseorang ingin membeli minyak lagi, mereka perlu membayar petrol atau diesel yang dibeli pada harga pasaran iaitu harga tanpa subsidi.
“Sebagai contoh, jika seorang pengguna yang dibenarkan membeli 100 liter minyak bersubsidi setiap bulan telah melepasi had itu, dia perlu membayar harga normal bagi setiap liter tambahan petrol dan diesel yang dibelinya,” kata Mohd. Zain kepada Utusan Malaysia." - Utusan Malaysia (Rabu, 05/06/2008)
Mungkin logik pandangan Mohd Zain, andai tempat kerja kita hanya dalam jarak 25km (maksimum) dan tidak pulang ke kampung atau disitulah juga tinggalnya ibu-bapa kita, atau menggunakan kenderaan yang kerajaan sediakan (tak perlu fikir nak isi minyak). Tapi, dengan gaji yang kami miliki, serta tiada keistimewaan seperti menteri, serta kena isi minyak sendiri, dan terpaksa tinggal luar kawasan KL (nilai, sungai buluh, rawang, klang, etc) dimana jarak perjalanan sehari lebih dari 100km serta sekurang-kurangnya 2 -3 bulan sekali pulang kekampung, 100 liter TIDAK MUNASABAH.
Sebagai contoh, saya tinggal di Bandar Tasik Puteri, Rawang dan bekerja di Bukit Jalil. Jarak perjalanan saya 2 hala lebih kurang 130km. Sehari saya menggunakan lebih kurang 8 - 10 liter minyak. Dengan cuaca yang tidak menentu serta hujan yang agak lebat, memandu kereta adalah alternatif terbaik (pengangkutan awam tak menentu dan sentiasa lewat). Jika saya bekerja 20 hari sebulan (setelah ditolak sabtu dan ahad), bermakna saya akan menggunakan 160 liter minyak. Ini tidak termasuk keadaan dimana saya perlu pergi ke tempat lain atas urusan kerja. Ini juga tidak termasuk saya pulang melawat ibu-bapa saya dikampung. Jika cadangan itu dilaksanakan, bermakna saya kena bayar sekurang-kurangnya 60 liter pada harga tambahan.
Jika gaji saya tidak dinaikkan untuk membolehkan saya tidak terasa bebanan tersebut, bagaimana harus saya atasi? Dengan Along? Kad Kredit?
Tentu ada persoalan, kenapa saya tinggal jauh dari tempat kerja? Sebagai pekerja swasta, berpindah kerja adalah lumrah dan sebolehnya kita inginkan kerja hampir dengan rumah, tapi realitinya mustahil. Selain itu, kos sewa rumah atau harga rumah yang berhampiran dengan tempat kerja juga mustahil kita akan dapat yang kita mampu bayar dan andai ada rumah yang boleh disewa, ia hanya menambah kos pada kita andai kita sudah pun membeli rumah.
Jadi, andai idea mereka itu diguna-pakai, nescaya, jurang pendapatan makin melebar, jurang kekayaan makin melebar, makin bertambah ramai orang miskin, muflis, serta ramai berhutang, serta makin tinggi gejala sosial kita.
Sepatutnya kita menggunakan mekanisma kawalan harga mengikut pendapatan serta isi rumah dan kemampuan. Bagaimana kita nak pertimbangkan ini, maklumat tersebut boleh didapati dari LHDN. Lihat saja pada jumlah cukai pendapatan yang dibayar. Dari situ, kita boleh laksanakan mekanisma yang lebih baik. Bagaimana hendak dikawal? Maklumat tersebut sepatutnya disalurkan pada MyKAD. Antara LHDN dan JPN serta JPJ, maklumat pendapatan, kewangan, serta jenis kenderaan boleh didapati menggunakan MyKAD (andai agensi ini bekerjasama kerana mereka ini merupakan entiti kerajaan juga dan sepatutnya tidak mempunyai masalah besar untuk bekerjasama serta berkongsi maklumat). Saya didalam bahagian teknologi maklumat dan sudah kerap kali terlibat dalam projek "Sistem Integrasi" yang menghubungkan pelbagai sistem berlainan pangkalan data dan platform, dan saya tahu dan yakin bahawa ini tidak mustahil dan mudah dilakukan.
Jadi, pada saya, idea menteri hanya baik pada pandangan mereka tapi tidak pada kami berpendapatan rendah serta didalam situasi kehidupan kami. Apa yang saya harapkan ialah menteri-menteri ini berfikir secara logika sebagai kami serta berfikiran terbuka untuk menerima pendapat kami atau pembangkang. Andai PKR pernah berkata tidak mustahil turunkan minyak sebanyak 30 sen dalam manifestonya, maka apalah salahnya kita berbincang dengannya serta dapatkan pandangan mereka dalam melaksanakannya.
"Your enemy is your best friend to tell about you or give opinion" - Sun Tzu
No comments:
Post a Comment