A journal written by orang kampung.. There is a place that you will never forget.... kampung


Thursday, September 23, 2010

Larangan Kenderaan Berat Melalui Lebuhraya - Berkesan?

Larangan Kenderaan Berat Melalui Lebuhraya - Sejauh manakah keberkesanannya?

Larangan tersebut telah dikuatkuasakan sejak 2hb Ogos yang lalu (Berita Harian). Kenderaan yang melebihi berat tertentu tidak dibenarkan melalui 3 lebuhraya utama untuk memasuki Kuala Lumpur atau ke Klang. Dalam erti kata lain ialah tidak dibenarkan melalui lebuhraya kendalian PLUS (NKVE, NSE, FHR2) selama 3 jam bermula dari pukul 6.30pagi kecuali sabtu, ahad, dan cuti umum.

Apakah motif disebalik larangan ini? Pihak Plus didalam beberapa akhbar mengatakan bahawa tujuan ia dilaksanakan ialah bagi mengurangkan kesesakan ketika waktu puncak kerana pergerakan lori yang perlahan dan jika berlaku kerosakan atau kemalangan membabitkan kenderaan tersebut, masa diambil untuk menyuraikan trafik menjadi lebih lamat.

Signifikasinya pada masyarakat? Pada yang selalu menggunakan lebuhraya PLUS, larangan ini tidak langsung membantu dan berkesan. Kesesakan tetap berlaku. Terutamanya selepas sahaja pemilik kenderaan membayar tol. Melepasi sahaja kaunter atau plaza tol, kesesakan telah disediakan untuk dilalui. Malah, ketika waktu puncak, kesesakan berlaku sebelum plaza tol lagi. Dan ketika melalui laluan selepas tol, kelihatan kenderaan berat yang bergerak perlahan melaluinya juga. Ada juga kenderaan yang perlahan seperti jentolak melalui jalanraya tersebut. Maka, manfaat apakah yang diberikan melalui larangan tersebut? Malah, jalan lain menjadi bertambah bahaya dan tidak selamat. Lori-lori besar ini melalui Lebuhraya Guthrie atau melalui jalan dalam untuk menuju ke destinasi masing-masing. Lantas ini menyebabkan laluan yang sebelum ini selamat, telah bertukar menjadi bahaya akibat dari larangan tersebut.

Maka, dengan ini saya ingin sarankan bahawa larangan ini dimansuhkan. Sebaliknya, larangan tersebut ditukar kepada larangan kenderaan berat atau bergerak perlahan (tidak kira lori atau jentolak) tidak dibenarkan langsung memasuki Kota Kuala Lumpur diwaktu puncak (6.30pg - 9.30pg dan 4.30ptg - 7mlm). Dengan larangan ini, maka barulah kesesakan teruk dapat dikurangkan.

Jangan dibandingkan dengan Pulau Pinang yang melarang kenderaan berat melalui Jambatan ketika waktu puncak. Ini kerana untuk keluar dan masuk pulau pinang, kenderaan berat hanya boleh melalui jambatan pulau pinang sahaja. Maka larangan ini amat berkesan. Dibandingkan dengan kuala lumpur yang mempunyai pelbagai laluan masuk, maka cara ini tiada memberi impak langsung.

Oleh itu, saya harap, pihak berkenaan akan mengkaji kembali akan larangan ini dan menjadikannya lebih berkesan.

No comments: