A journal written by orang kampung.. There is a place that you will never forget.... kampung


Friday, May 02, 2008

Babi @ Khinzir ... Pakatan Rakyat pun 2 X 5

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Permodenan Pertanian, Sumber Alam Sekitar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Yaakob Sapari memberi amaran kepada mana-mana pihak yang memutarbelitkan isu projek pembinaan ladang babi, di Ladang Tumbuk, Hulu Langat.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak teragak-agak mendedahkan dokumen rasmi kerajaan negeri berhubung projek yang telah diluluskan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) pada 9 Februari 2008.


"Kami tidak teragak-agak mendedahkan dokumen ini, yang telah diluluskan kerajaan negeri BN sehingga sampai ke peringkat pengambilan tanah, walaupun ia merupakan dokumen rasmi kerajaan dan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA)," tegas beliau ketika temu bual eksklusif bersama Harakahdaily, di pejabatnya, di SUK, semalam.

Beliau menegaskan, atas persetujuan Exco negeri dokumen tersebut boleh dihebahkan walaupun ia merupakan dokumen OSA.

"Kita boleh menjadikan dokumen itu bukan dokumen OSA," katanya sambil menunjukkan dokumen tersebut.

Tiada kesan negatif kepada persekitaran

Mengulas lanjut kontroversi yang dimanipulasi media arus perdana berhubung isu itu, Yaakob berkata projek RM 100 juta itu tidak akan memberi kesan negatif kepada alam persekitaran.

Jelas beliau, najis babi dari ladang akan dikumpulkan dalam satu tong yang bercampur sisa rumput, yang kemudian menghasilkan bio-gas untuk menjana kuasa elektrik bagi keperluan ladang tersebut.

"Tidak akan ada pencemaran, baik pencemaran air atau udara. Tidak akan ada sisa buangan dari ladang ke luar kawasan ladang itu. 'No discharge, no smell," tegas beliau.

Menurut Yaakob, kaedah ini diamalkan di Jerman, di mana bekas Setiausaha Politik Dato' Seri Dr Khir Toyo pernah mengadakan lawatan di negara tersebut, bersama wakil penduduk Kampung Ladang Tumbuk, sebelum ini.

"Wakil penduduk kampung itu bersetuju dengan kaedah di Jerman. Beliau turut menerangkan kepada penduduk bahawa projek itu tidak akan memberi kesan kepada alam sekitar dan penduduk setempat," katanya.

Ekoran dari itu, Yaakob melahirkan kekesalan apabila wakil penduduk terbabit menafikan apa yang pernah dinyatakan sebelum itu selepas Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Selangor.

Ketika pelbagai pihak membangkitkan soal lokasi projek mega itu yang dikatakan turut membabitkan kampung Melayu, beliau menegaskan kawasan tersebut sememangnya merupakan pusat penternakan babi di negeri itu.

"Sebenarnya, babi sudah sedia ada di kawasan tersebut. Ia memang sudah menjadi pusat. Kami hanya mahu memodenkan pusat tersebut, di samping menjaga alam persekitaran dari dicemari," katanya.

Mengenai cadangan supaya projek ditempatkan di Pulau Ketam yang merupakan majoriti penduduknya adalah Cina, beliau mengatakan kawasan tersebut tidak praktikal kerana faktor geografi, terutama dari segi pasang surutnya air.

Menurut Yaakob, projek tersebut sudah berada di peringkat pengambilan tanah, di mana kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang modal bagi tujuan itu.

Malah, katanya para pelabur dikenakan bon sebanyak RM40 juta kepada kerajaan negeri untuk membiayai kos pengambilan tanah penduduk seluas 119 ekar tersebut.

Justeru, beliau meminta mana-mana pihak yang tidak memahami isu ini secara jelas agar tidak memutarbelitkan fakta, yang boleh mengelirukan rakyat./wann

Sumber : Harakahdaily 12/4/2008

Ulasan:

Tidak syak lagi bahawa kerajaan negeri Selangor akan meneruskan projek penternakan babi yang telah dipersetujui oleh kerajaan BN sebelumnya. Mengapa tidak diberhentikan sahaja projek tersebut? Bukankah mereka berkuasa penuh bagi segala hal-ehwal di dalam negeri?. Mengapa wakil PAS di dalam barisan exco kerajaan negeri tidak membantah keputusan kerajaan negeri Selangor itu? Padahal ia dengan jelas bertentangan dengan syiar Islam yang PAS perjuangkan selama ini.

Walaupun kerajaan negeri akan menerapkan teknologi canggih di dalam memastikan ladang penternakan itu tidak mencemarkan alam sekitar dan untuk mengatasi masalah penternakan babi haram, babi tetap haram diternak secara terbuka.

Keharaman ke atas babi bagi umat Islam telah pun dinyatakan dengan jelas di dalam Al Quran. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Hai orang-orang yang beriman, makanlah yang baik-baik dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kalian dan hendaklah kalian bersyukur kepadaNya, jika benar-benar kalian bersembah sujud kepadaNya. Allah mengharamkan kalian dari memakan bangkai, darah, daging babi, dan daging ternak yang tidak disembelih atas nama Allah. Namun barang siapa yang berada di dalam keadaan terpaksa (memakannya) bukan atas kemahuannya sendiri, dan tidak ia melampaui batas, maka ia tidak berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang” [TMQ Al-Baqarah:172-173]

Walaupun orang-orang kafir dibenarkan untuk memakannya, ia haram dijual-beli secara terang-terangan apalagi untuk tujuan diternak secara besar-besaran iaitu dizahirkan kepada khalayak.

Ini dibuktikan di dalam catatan sistem perundangan Islam seperti yang tertulis di dalam Umdat al Salik wa Uddat al Nasik (kitab lama fiqh mazhab Syafii) yang ditulis oleh Ahmad ibn an-Naqib al-Misri (1302-1367) yang di dalamnya ada menyebutkan bahawa, setiap warganegera yang bukan beragama Islam harus membayar jizya, memakai pakaian yang berlainan dengan pakaian orang-orang Islam, tidak boleh mengucapkan salam kepada mereka, berjalan di sebelah tepi jalan, membina rumah tidak lebih tinggi daripada bangunan orang-orang Islam tetapi jika sudah dipunyai, tidak akan dirobohkan, tidak boleh menonjolkan arak dan babi secara terang-terangan, membaca kitab taurat atau Injil secara kuat, tidak boleh melakukan perarakan keagamaan atau pengebumian secara terang-terangan dan tidak boleh membina gereja yang baru serta tidak boleh meletakkan lambang salib di luar rumah.” Kandungan ini berdasarkan ”perjanjian Umar” dengan orang-orang kafir zimmi di Syria sebagaimana yang tercatat di dalam Siraj al-Muluk karya Abu Bakr Muhammad ibn al-Walid al-Tartushi. Ini merupakan bukti yang jelas bahawa walaupun Islam tidak melarang orang-orang kafir menjadikan babi sebagai makanan mereka, namun mereka tidak boleh melakukannya secara terbuka dan cukup sekadar keperluan mereka sahaja.

Walaupun apa jua alasan, semua permasalahan tentang babi ini bukan termasuk di dalam perkara ijtihadiah kerana Islam telah pun menjelaskan hal-ehwal yang menyangkut babi ini sejak zaman Khulafaur Rasyidin lagi dan tidak kira setakat mana kecanggihan teknologi untuk ’membersihkan babi’ ia tetap haram dimasukkan ke dalam sektor ekonomi Daulah Islam, inikan pula hendak ’diindustrikan.’

[Disalin dengan kebenaran dari mykhilafah.com]

No comments: